Pusat Siber Rakan Muda Bentong

Tiada sasaran pada Olimpik Remaja

Posted by Pusat Siber Rakan Muda On Wednesday, July 28, 2010 0 comments

KUALA LUMPUR - Pungutan pingat bukan sasaran utama kontinjen Malaysia yang akan menyertai Sukan Olimpik Remaja di Singapura pada 14 hingga 26 Ogos ini.

Tidak seperti temasya sukan yang lain, kehadiran 13 atlet negara ke kejohanan itu lebih bersifat untuk memberi pendedahan di peringkat antarabangsa.

Ketua Kontinjen Malaysia, Lim Keng Liat berkata, pihaknya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada atlet muda negara.

Katanya, paling utama adalah penyertaan mereka pada kejohanan tersebut.

''Kita tidak mahu memikirkan sangat mengenai pungutan pingat atau pun warna pingat yang bakal diraih, apatah lagi kejohanan ini pertama kali diadakan, jadi sukar meramalkan peluang atlet kita,'' katanya pada sidang akhbar, semalam.

Hadir sama Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Ahmad Shapawi Ismail.

Walaupun, tidak mensasarkan sebarang kutipan pingat, menurut Keng Liat, pihaknya menjangkakan acara-acara seperti badminton, terjun dan sukan layar, berpotensi untuk memberikan pingat.

Jelasnya, penyertaan atlet negara hanya melibatkan enam sukan daripada 26 acara yang dipertandingkan.

''Sukan yang kita sertai ialah pelayaran, angkat berat, olahraga, badminton, akuatik serta gimrama,'' ujarnya.

Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata, kejohanan tersebut tidak memaparkan kedudukan pingat seperti mana kebiasaan temasya-temasya sukan yang lain.

''Selain acara sukan, para peserta akan dibawa mendekati bidang seni dan kebudayaan negara-negara peserta, selain program yang melibatkan eksplorasi,'' katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai status kecederaan atlet terjun negara, Pandalela Rinong, Ahmad memberitahu, setakat ini, pihaknya dimaklumkan kecederaan yang atlet itu begitu serius sehingga menjejaskan persiapan ke Sukan Olimpik Remaja.

Tambah beliau, atlet kelahiran Sarawak itu kini berada di Kunming, China bagi mengikuti program latihan pada altitud tinggi.

No comments: